Akhirnya Kandungan Laporan Polis Farid Kamil Akan Terdedah ! Ini Respon Farid Kamil Selepas Dihubungi… ” Jumpa di mahkamah esok “

STATUS yang dikongsi di Instagram Farid Kamil kira-kira jam 1.40 tengah hari tadi.- Foto ihsan @faridkamilz

Oleh Hanisah Selamat dan Zaidi Mohamad
bhonline@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari, 37, menyatakan mahu terus memperjuangkan nasib orang yang teraniaya tanpa menyebut individu dimaksudkan.

Pada masa sama, beliau turut berharap masyarakat dapat mendoakan supaya perjalanan hidupnya yang penuh berliku itu mampu ditempuhi dengan penuh kesabaran.

“Assalamualaikum. Terima kasih di atas iringan doa daripada kalian. Semoga Allah SWT akan terus merahmati kita semua. Insya-Allah, dengan kudrat yang masih tinggal, saya akan terus memperjuangkan nasib orang-orang teraniaya.

“Pinta saya supaya kalian semua dapat mendoakan supaya perjalanan yang berliku ini dapat ditempuhi. Amin,” katanya dalam status yang dikongsi di Instagramnya kira-kira jam 1.40 tengah hari tadi.

Menerusi perkongsian di akaun @faridkamilz yang diikuti 774,000 peminat itu, beliau dilihat menulis kata-kata berkenaan mengiringi gambarnya yang berlatarkan Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya.

Dalam gambar berkenaan, bintang filem Tombiruo itu dilihat memegang sekeping kertas seakan-akan salinan laporan polis, tetapi tidak dapat dipastikan kandungan atau alasannya berbuat demikian.

Ketika dihubungi BH Online menerusi aplikasi WhatsApp, Farid cuma menjawab: “Jumpa di mahkamah esok pagi untuk maklumat seterusnya.”

Ditanya lagi mengenai tujuan beliau membuat laporan polis, Farid terus mendiamkan diri, malah cubaan untuk bercakap sendiri dengannya di telefon juga tidak berjawab.

Sementara itu, adiknya yang turut bertindak sebagai pengurus pelakon berkenaan, Fadzil Zahari, ketika dihubungi memaklumkan beliau tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara terbabit.

“Maaf, saya tidak dapat mengulas mengenai perkara ini,” katanya.

Perkongsian Farid itu mendapat lebih 72,000 ‘like’ dan 2,460 komen. Sumber : b.harian.com