Iqram Dinzly Sudah Beri Nama Pada Arnab Pemberian Mufti! Tak Sangka Nama Ini Dipilih!

PELAKON Iqram Dinzly, 37, menamakan dua arnab pemberian Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai Ahmad dan Che Jah.

Iqram atau Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin berkata, nama itu diberikan sempena nama arwah datuk dan nenek sebelah arwah bapanya.

“Baru semalam saya berikan nama arnab ini. Saya memang sukakan nama kampung, jadi saya pilih nama ini. Macam monyet saya dulu, saya namakan Ahdam.

“Ini kali pertama saya memelihara arnab. Sebelum ini saya pernah ada ayam, itik dan burung. Masuk dua hari bersama arnab ini, saya berasa sangat seronok.

“Semalam juga kedua-duanya bersenyawa. Bagi saya memelihara haiwan sesuatu yang baik dan boleh dijadikan terapi diri.

“Semua orang pun boleh praktikkan dalam hidup. Tidak menyusahkan pun. Macam mufti pun, dia turut membela arnab, kucing dan ayam,” katanya kepada Harian Metro.

Iqram turut memuji sikap Dr Zulkifli yang disifatkan sebagai seorang sederhana dan merendah diri.

Kata Iqram, dia tidak ada masalah menjaga arnabnya kerana sudah berpengalaman membela binatang lain sebelum ini.

“Pagi sampai petang saya lepaskan arnab ini di luar rumah. Malam baru saya letak dalam sangkar. Pendek kata, masa bersama arnab satu lagi rutin baru saya.

“Bukan itu saja, setiap hari saya juga dikunjungi rakan dan pelajar yang datang untuk berkongsi ilmu. Kami saling bertukar pendapat. Dalam masa sama, saya juga belajar sesuatu yang baru dengan mereka,” katanya.

Sebelum ini, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Zulkifli Mohamad menghadiahkan dua ekor arnab kepada pelakon Iqram Dinzly.

Haiwan itu sebagai terapi buat Iqram, seorang pencinta haiwan, bagi mengatasi masalah yang dihadapinya, lapor Harian Metro.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/rap/2018/01/306368/iqram-pilih-nama-ahmad-che-jah
sumber ://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/mufti-wp-hadiah-dua-ekor-arnab-iqram-pulang-tenang#jlGBZAyR4bjMV0qX.99