Malaysia akan pertahan Makkah, Madinah jika diserang!

Kempen ketenteraan oleh Arab Saudi dan sekutunya ke atas Yaman membawa kemusnahan dengan lebih 10,000 orang terbunuh sejak konflik pada Mac 2015.

FOTO Ihsan www.dw.com

Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

MENTERI Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sekali lagi menegaskan bahawa Malaysia akan bersama-sama Arab Saudi mempertahankan Makkah dan Madinah sekiranya diancam.

Beliau sehubungan itu memaklumkan akan ke Jeddah malam esok bagi menghadiri mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Ahad berhubung kononnya serangan peluru berpandu Yaman.

Beliau berkata, mesyuarat itu dijangka dihadiri semua negara anggota semata-mata untuk membincangkan perkembangan terkini mengenai tindakan serangan peluru berpandu ke negara itu.

“Pada Isnin pula saya mewakili negara ke mesyuarat di Riyadh bagi membincangkan mengenai pergolakan di Yaman.

“Dalam dua perkara ini pendirian Malaysia begitu jelas apa jua keadaan yang mana kedudukan Makkah dan Madinah terancam kita akan bersama-sama Arab Saudi.

“Keduanya, mengenai Yaman, kita tidak akan menghantar tentera berperang di sana, sebaliknya jika usaha untuk membina semula negara itu, kita akan membantu melalui anggota tentera kita,” kata pada sidang media selepas program Rapat Umum Barisan Nasional (BN) di Padang Awam Taman Ria Jaya, di Sungai Petani hari ini.

Dalam pada itu Hishammuddin berharap tiada pihak mempolitikkan kehadirannya pada mesyuarat berkenaan.

“Saya harap tidak ada mana-mana pihak cuba memutar belit kehadiran saya kerana sebelum ini saya memberitahu Dewan Rakyat apa pendirian Malaysia mengenai kedua-dua perkara ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan beberapa siri serangan peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari kawasan bergolak di Yaman oleh pemberontak Houthi yang disokong Iran berjaya dipintas oleh Pasukan Pertahanan Udara Diraja Saudi dengan dua serangan terkini berlaku pada Disember 2017.

Sumber : hmetro.com.my