“Saya Terkejut Balqis Sanggup Buat Tanpa Merengek…” – Syamsul Yusof


Mereka yang sudah menonton filem Makrifat Cinta tentunya mengakui keberkesanan lakonan Syamsul Yusof, Sabrina Ali dan Puteri Balqis.

Filem Melayu pertama arahan Kamal G terbitan Dhananwoodd Films Sdn Bhd itu turut menampilkan pelakon terkenal lain iaitu Nora Danish, Nabila Huda dan Datuk Aznil Nawawi.

Makrifat Cinta yang bertemakan cinta dan kekeluargaan mula menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula 1 Februari lalu .

Biarpun sudah tiga kali menjulang trofi Pengarah Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) selain dinobatkan Pengarah Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-57 menerusi Munafik, Syamsul mempunyai alasan tertentu berlakon di bawah arahan sutradara baru ini.

“Salah satu sebab saya terima tawaran ini kerana wataknya yang berbeza daripada yang dibawa sebelum ini. Semua orang tahu saya hanya berlakon dengan produksi keluarga dan sekarang cuba keluar dari kepompong.“Saya tertarik dengan skrip asal cerita ini dan minta Kamal ubah hampir 80 peratus untuk dimantapkan semula tapi secara keseluruhannya semua adalah hasil kerjanya.“Saya hanya bantu apa yang perlu. Sebenarnya bukan senang nak dapat watak yang diilhamkan daripada kisah benar. Saya pula peminat cerita begini dan walaupun ceritanya ringkas, saya suka untuk membawakannya,” katanya.

Syamsul mengakui bekerja dengan Kamal G ada perbezaan dengan cara pembikinan filem Melayu lain.

“Ini kali pertama dia mengarah dan dia mempunyai visi yang jauh. Saya boleh katakan wawasannya lebih jauh daripada saya.“Terus terang, saya katakan bila buat filem, fokus saya hanya pada skrip dan penceritaan. Dari segi pasaran tidaklah sampai fikir ke luar negara. Tapi dia mahu pasarkan Makrifat Cinta sehingga ke Indonesia dan India.“Alhamdulillah, apa yang dikatakan terbukti kerana penerbit Ram Punjabi, antara nama besar di Indonesia sudah menonton dan berikan respons yang baik.“Mereka nak bekerjasama dengan Kamal menayangkan filem ini di sana. Syukur juga kerana ayah saya sendiri sukakan cerita ini,” katanya.

Mengulas gandingannya dengan pelakon lain yang dikatakan sering terbabit dalam filem terbitan Skop Productions, Syamsul mengakui ia hanya kebetulan.

“Kamal minta saya cadangkan pelakon dan tentulah saya berikan yang terbaik. Pemilihan Sabrina bukanlah kerana dia sepupu saya kerana kami profesional dalam karier.“Saya puji Balqis kerana melakonkan watak utama dan berikan komitmen yang baik. Saya terkejut walaupun dia pelakon kanak-kanak, tapi tenaganya macam orang dewasa dan ada babak yang dia sanggup buat tanpa merengek antaranya babak dalam hujan serta berlari.“Terus terang, saya risau dia masih kanak-kanak, tapi dia memang bagus. Cerita ini pun memerlukan watak Mahathir dan Aisha sentiasa bersama. Syukur penggambaran ketika itu sangat lancar,” katanya.

Sabrina pula mengakui dia teruja berlakon dengan pengarah bukan Melayu dan mempunyai cara tersendiri dalam kerjanya.

“Kamal boleh dibawa berbincang apa yang perlu dilakukan. Saya ada persepsi sendiri mengenai watak dan dia ada pandangan sendiri. Kami akhirnya berbincang dan dapat satu keputusan.“Untuk bawa watak Ustazah Faridah, saya buat rujukan dengan meneliti karakter orang lain. Syukur ia banyak membantu. Sebenarnya ini kali pertama saya berlakon genre cinta. Kalau yang sama, saya memang tak mahu buat.“Pada saya, filem Makrifat Cinta ada kelainan. Ia mengenai seseorang yang daripada ‘zero to hero’. Ia mengajar kita tiada yang mustahil di dunia ini jika kita berusaha. Pegang apa yang kita percaya dan insya-Allah, kita akan dapat apa yang dimahukan,” katanya.

Sabrina berkata, ini bukan filem tipikal yang ada isu bergaduh kerana berebutkan wanita tetapi sebaliknya lebih kepada kekeluargaan.

“Banyak sudut di dalamnya yang boleh dijadikan pengajaran. Saya sebenarnya kurang sukakan genre cinta sebaliknya menyukai kisah berbentuk cinta, kekeluargaan dan ada unsur Islamik. Cerita sebegini sebenarnya memberi pengajaran buat kita,” katanya.

Sementara itu, Balqis pula memberitahu dia suka bekerjasama dengan semua pelakon. Pada masa sama, dia juga mengakui Makrifat Cinta filem yang bagus.

“Seperti kata, Pak cik Syamsul, ini cerita benar dan saya berbangga jadi sebahagian daripada filem ini. Karakter saya memang berat kerana kena menangis.“Saya seronok bekerja dengan Pak Cik Kamal. Jika lakonan saya tak sampai, dia akan tegur cara baik,” katanya.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! SL

 

Sumber : HarianMetro