“Saya Tidak Pergi Memancing Atau Gunting Apa-apa…Kenapa Nak Malu?” – Lan & Isteri Redha Keadaan Anak…

“MEMANG bayi saya sumbing dan ini adalah rezeki yang Allah SWT berikan pada kami sekeluarga.

“Saya dan isteri menerima dengan reda dan Alhamdulillah, kami positif dikurniakan anak istimewa ini,” kata penyanyi Lan Solo.

Lan atau nama sebenar Mohd Razlan Mohamed Yusof, 33, ketika dihubungi berkata dia dan isterinya, Nur Sheila Hassim, 33, juga tidak malu untuk berkongsi foto bayi mereka, Nur Amna Quxandra yang dilahirkan pada 24 Februari lalu.

“Buat apa kami nak malu. Lagi pun, masalah sumbing bayi kami tidaklah teruk sangat. Nur Amna Quxandra hanya sumbing di bibir saja.

“Ia tidak membabitkan lelangit dan hidung. Jadi, saya bersyukur anak istimewa kami hanya diuji dengan sumbing yang sedikit.

“Doktor pun ada memberitahu, pembedahan boleh dilakukan ke atas bayi kami apabila beratnya sudah mencecah 5 kilogram,” katanya.

Lan yang akan muncul dengan single solo, Berpisah Tanpa Rela ciptaan sendiri berkata sekarang berat bayinya baru 2.5 kilogram.

Nur Sheila dihubungi berkata dia sudah tahu bayi keempatnya sumbing bibir sejak dalam kandungan lagi.

“Ketika itu, kandungan saya berusia 27 minggu dan apabila doktor memberitahu saya bersyukur dapat menerima dengan hati terbuka.

“Apapun, ada juga orang yang bertanya adakah Lan pergi memancing atau saya ada menggunting apa-apa. Semua itu, tidak pernah kami lakukan.

“Bagi saya, sudah rezeki kami dikurniakan seorang anak yang istimewa. Apa yang penting, bayi saya selamat dilahirkan dan sihat,” katanya.

Menurut Nur Sheila, dia juga tidak akan menggunakan ‘tiket anak artis’ untuk menyorokkan bayinya daripada masyarakat atas sebab malu.

“Sebagai ibu, Nur Amna Quxandra adalah bayi yang saya kandung dan lahirkan. Saya bangga dengan anak saya dan kini saya pun makin banyak kumpul ilmu mengenai masalah bibir sumbing,” katanya.

Lan dan Sheila bernikah pada 5 Disember 2009. Mereka dikurniakan tiga anak iaitu Nur Amna Qaleesya, 8, Nur Amna Qeesyara, 6, dan Muhammad Akid Qassyaff, 4.
‘Mujur baby tunggu saya balik’

ISTERI penyanyi Lan Solo iaitu Nur Sheila Hassim, 33, selamat melahirkan bayi perempuan, hari ini.

Bayi seberat 2.5 kilogram itu dilahirkan di pusat perubatan di Kuala Lumpur, 4.10 pagi tadi.

Lan atau nama penuhnya, Mohd Razlan Mohamed Yusof, 33, berkata, dia yang baru pulang dari Jakarta, Indonesia, Khamis lalu bersyukur dapat menyambut kelahiran cahaya mata keempatnya.

Alhamdulillah, syukur. Proses kelahiran berjalan dengan lancar tanpa sebarang komplikasi.

“Mujur ‘baby’ sempat tunggu saya balik dari Jakarta. Sepanjang berada di sana, tak keruan dibuatnya fikirkan keadaan isteri saya.

“Isteri dimasukkan ke bilik bersalin kira-kira 1 pagi tadi dan selamat melahirkan anak kami selepas tiga jam. Saya juga diberi kesempatan memotong tali pusat anak keempat kami,” katanaa.

Menurut Lan, dia dan isteri masih belum memilih nama anaknya itu.

“Buat masa sekarang, belum ada nama yang lengkap. Cuma, nama depannya saja Nur Amna dan kami masih mencari nama hujung yang sesuai bermula huruf Q seperti nama anak saya yang lain” katanya.

Akhir tahun lalu, Sheila pernah dimasukkan ke hospital selepas pertandingan akhir Gegar Vaganza 4 (GV4), dan doktor mengesahkan dia mengalami kebocoran air ketuban kerana terlalu aktif bekerja.

Sumber : Hmetro

Posted in: Hiburan, Tempatan