Video: CCTV Rakam Kejadian Ragut Di Kota Bharu. Suspek Akhirnya Berjaya Ditangkap. Punca Kejadian Ragut Itu Amat Mengejutkan!

JENAYAH ragut berlaku tanpa mengira lokasi dan terbaharu, insiden itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di Jalan Hamzah, Taman Limau Manis, Kota Bharu, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, mangsa yang merupakan seorang wanita warga emas cedera di kepala akibat terjatuh selepas diragut dua suspek lelaki.

Menerusi rakaman, mangsa dipercayai baru selesai membeli barangan basah, berjalan menuju ke kenderaanya sambil membawa beg tangan dan beberapa beg plastik.

Namun malang buatnya apabila gerak geri wanita itu telah lama diperhatikan suspek yang sudah bersiap sedia di  tempat duduk penumpang bahagian depan sebuah kereta Proton Persona.

Setibanya mangsa di keretanya, suspek sepantas kilat menyerbu wanita itu dari arah belakang sebelum merentap beg tangannya secara kuat.

Mangsa cuba melawan, bagaimanapun ia nyata tidak mampu untuk menghalang kudrat lelaki terbabit, menyebabkan mangsa terjatuh.

Suspek kemudian dilihat terus menuju memasuki kenderaan yang dipandu rakannya dan terus memecut laju pergi.

Rakaman CCTV yang dimuat naik seorang pengguna Facebook itu kemudian mengundang kecaman hebat daripada netizen, selain mendesak agar pihak berkuasa segera menangkap kedua suspek terbabit.

Malah, netizen turut mengecam tindakan beberapa individu di lokasi yang seakan-akan tidak mengendahkan mangsa yang terbaring lemah di tepi jalan.

Dipercayai, kenderaan suspek yang bernombor plat KCE 6775 juga dilaporkan pernah terbabit dalam satu kes penipuan di Jalan Kampung Sireh, pada tahun lalu.

Sementara itu dalam perkembangan terbaharu, pihak polis dilaporkan telah berjaya menahan dua suspek berusia 27 dan 33 terbabit.

Kedua-duanya juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan akan ditahan reman bagi membantu siasatan. – MYNEWSHUB.CC