(Video) ‘Saya tak tahu apa salah saya’ – Intan masih sayang tapi terpaksa akur dan reda

“Segala-galanya terpulang kepada Ude, saya akur dan reda dengan keputusan dan lafaz cerai daripada Ude nanti,” demikian kata Intan Liana Saleh meskipun dia sebenarnya enggan perkara itu terjadi.

Muhammad Radzi Abdul Wahid (Ude) dilaporkan mahu menceraikan isteri pertamanya dan menurut peguamnya, antara alasan bercerai adalah kerana tiada persefahaman.

Intan bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai situasi rumah tangga pada masa ini kerana tidak mahu memburukkan keadaan.

“Bersedia atau tidak, saya tetap kena terima keputusannya. Maaf, saya tidak boleh mengulas lebih lanjut tentang perkara ini,” katanya memetik laporan dari mStar Online.

Dalam laporan yang sama, Intan mengakui dia masih menyayangi Ude dan berharap semua orang mendoakan kebahagiaan mereka berdua. Intan dan dua lagi anaknya berusia tiga dan satu tahun kini masih tinggal di rumah yang disediakan oleh Ude.

Menurut Intan lagi, mereka sudah tinggal berasingan semenjak November lalu.

“Saya masih sayangkan dia sehingga hari ini, cuma saya tak tahu apa salah saya. Harap semua doa yang terbaik untuk kebahagiaan saya dan dia.

“Saya dan anak-anak tinggal di rumah yang disediakan oleh Ude. Tapi hanya sesekali saya akan ke rumah kakak kerana saya tidak mempunyai kenderaan sendiri untuk bergerak ke mana-mana,” katanya.

Sebelum ini Mengaku hanya Menumpang Kasih Dan Bukan Perampas!

Dilabel sebagai perampas suami wanita lain, pelakon Izreen Azinda mengakui berat bagi dirinya berdepan dengan pelbagai kritikan netizen di media sosial, tetapi dia terpaksa akur itu dengan dugaan itu apabila memilih untuk hidup bermadu, lapor Berita Harian.

Izreen yang sebelum ini pernah berkahwin namun tidak kekal lama, juga tidak rela menghancurkan hati wanita lain. Namun takdirnya sudah tertulis apabila dia terpaksa berkongsi kasih dengan suami orang.

“Saya sekadar menumpang kasih dan tidak pernah sesekali berhasrat merampas serta meruntuhkan kebahagiaan suami dan isteri pertama. Saya tidak sekejam itu, malah tidak akan membenarkan suami meninggalkan isteri pertama semata-mata untuk bersama saya.

“Saya kecewa dengan cemuhan yang dilemparkan netizen. Mereka menjatuhkan hukuman tanpa mengetahui cerita sebenar. Saya akur, pilihan menjadi isteri kedua menuntut pengorbanan besar. Saya sedia beralah dan bertimbang rasa kerana sedar kedudukan diri,” katanya.

Terdahulu, Intan Liana Saleh, 32, isteri pertama kepada Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude, 29, mengaku bahawa dia terpaksa reda dan menerima Izreen sebagai madunya.

Ude juga mengaku telah melangsungkan pernikahan bersama Izreen pada 8 Ogos lalu dengan sekali lafaz pada jam 10 pagi.

“Saya minta maaf dan tidak bermaksud mahu menimbulkan spekulasi mengenai status perkahwinan kami sebelum ini. Ramai yang bertanya tetapi saya terpaksa mendiamkan diri kerana menanti masa yang tepat untuk menjelaskan segala-galanya,” katanya.



Izreen berkata dia sentiasa mengingatkan dirinya agar tidak menuntut berlebihan sebagai isteri kedua. Malah dia juga berharap suaminya tidak sesekali mengabaikan isteri pertama dan dua anak mereka.

“Saya faham perasaan seorang isteri apabila mengetahui suaminya berkahwin lain. Saya harap suami akan mempertahankan perkahwinan pertamanya kerana saya tidak mahu berlaku perkara tidak diingini berlaku susulan pernikahan kami.

“Alhamdulillah, saya lega apabila mengetahui Intan Liana sudi menerima saya sebagai madunya. Saya berharap kami dapat berkongsi hidup seperti satu keluarga. Saya juga bersedia bersemuka dengannya untuk menjalin hubungan baik,” kata dengan harapan penjelasan yang dibuat itu sudah cukup dan tidak dipanjangkan bagi menjaga hati dan perasaan pihak lain.