“11 ‘Power Rangers’ Pakaikan Saya Baju Pasung Kemudian Saya Sedar Muka Berdarah” – Farid Kamil

Pelakon yang terpalit dengan kontroversi penyalahgunaan dadah dan mencederakan pegawai polis, Datuk Farid Kamil menceritakan pengalaman anehnya sepanjang ditahan di lokap.

Kata Farid, pada tiga hari pertama selepas sedarkan diri dia dikejutkan dengan kemunculan 11 lelaki berbadan tegap secara tiba-tiba selepas bertanyakan arah kiblat.

“Semasa ditahan di lokap selama tiga hari saya berdepan kejadian aneh. Pada pukul 2 pagi lampu lokap dipadamkan dan tiba-tiba muncul 11 ‘Power Rangers’ berpakaian preman yang saya tidak kenali.

“Mereka berbaris di hadapan saya dan pakaikan saya baju pasung hingga saya tidak mampu bergerak.

“Lampu dipadamkan sekali lagi dan saya nampak tiga orang di atas kepala dan kiri dan kanan saya. Dalam kepala saya hanya fikir ‘matilah saya malam ini’!

“Kemudian saya nampak kesan darah banyak di baju kerana luka di dahi dan saya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Hanya disebabkan provokasi saya bertanyakan arah kiblat yang tidak dijawab dengan betul, ini yang saya dapat? Adakah saya sekarang musuh nombor satu publik?” dedah Farid Kamil dalam sidang media khas semalam.

Farid memberitahu sepanjang tahanan dia tidak dibenarkan bertemu dengan kenalannya dan sumber memaklumkan dia meracau di dalam lokap.

Pelakon drama bersiri Lafazkan Kalimah Cintamu yang ditemani oleh tiga peguam daripada Tetuan Faizul Nasir & Co itu telah membuat laporan terhadap perkara itu selepas dibebaskan daripada tahanan reman.

“Farid tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan tentang masalah mental namun spekulasi itu wujud ketika beliau di dalam tahanan pihak berkuasa,” tambah peguamnya.

Mengimbas kembali, pada 11 Januari lalu Farid hadir ke Balai Polis Damansara bersama seorang rakan untuk membuat laporan berhubung kes kemalangan jalan raya.

Namun, pelakon itu tiba-tiba menjadi berang sebelum menampar angota polis bersaksikan seorang anggota lain dan tiga orang awam.

Farid ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana perlakuan yang menyebabkan kecederaan.

Ujian saringan air kencing mendapati Farid positif dadah jenis ganja.

Farid direman mengikut Seksyen 90 Akta Polis, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Teks oleh: Amri Hassan via astro gempak