Saya tidak mampu menolak takdir,Ude pandai ‘beli jiwa’ saya dan anak..!

BERDENTAM-dentum guruh kemarahan terpanah kepadanya.Dia tidak jauh atau barangkali lebih ‘bersalah’ jika dibandingkan dengan penagih dadah atau si tanggang yang derhaka sekalipun, jika kita melihat kepada komen-komen yang menghentam dirinya ketika ini.

Orang lain boleh berkata apa sahaja, tetapi pada akhirnya yang perlu melalui semua ini adalah dia sendiri.

Izreen Azminda ketika ini barangkali dilihat sebagai pesa­lah, atas cubaan berkongsi kasih dengan suami orang selepas ikhlas mengaku sudah berkahwin dengan suami orang yang punya dua anak kecil.

Pun begitu sebagai manusia dia sendiri tidak mampu untuk melawan takdir yang sudah tersurat.

Tidak pernah terdetik untuk berkahwin dengan suami orang atau hidup bermadu, dramatis popular ini sendiri pada awalnya pelik.

Bagaimana dia boleh menjadi seberani itu dalam mempertahankan cintanya kepada lelaki pemilik nama penuh Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude itu.Awalnya, dia sendiri tidak punya jawapan yang kukuh.

Kenapa dia? Kenapa Ude, suami orang yang dipilih? Saya sendiri tidak punya jawapan,beritahunya kepada Pancaindera dalam cubaan mengawal perasaan.

Cuma, orang kata apabila kita cinta, kita akan sanggup buat apa sahaja.Dan saya fikir kerana kesanggupan itulah saya memilih untuk menjadi isteri ke-duanya dalam usia kami yang masih muda.Betul sekali apa yang diperkatakan oleh isteri pertamanya (Intan Liana Salleh), Ude memang seorang yang bertanggungjawab.

Dengan anak-anak, dengan keluarga semua, dia sangat ikhlas.Mungkin sikap baik Ude membuatkan saya tidak mampu untuk menolak takdir ini dan akhirnya memilih untuk hidup dengan seorang lelaki yang sudah pun mempunyai isteri sebelum ini.Demikian hebatnya kuasa cinta,” katanya.

Izreen pada Ahad lalu membuat pengakuan terbuka, dia sudah menjadi isteri kedua kepada pemuzik bebas itu se­men­jak 8 Ogos lalu dalam satu perkah­winan tertutup di Damansara.

Berwalikan bapanya sendiri, Mohammad Aznam Mohd Noor, hanya dengan sekali lafaz Izreen sah menjadi isteri Ude.Keputusan berkahwin ini dibuat setelah lebih tiga tahun bercerai dengan jurugambar Riza Baharuddin pada pertengahan 2014.

Dipecat sebagai duta?

Khabarnya, gara-gara kontroversi dirinya ketika ini, kontrak Izreen sebagai duta salah satu produk wangian, Meeracle Gemstone Beauty sedang berhadapan dengan masalah.Apakah benar, kontrak yang bakal tamat pada Januari 2018 itu tidak akan menyebelahi Izreen lagi selepas ini?

Bercakap soal itu, Izreen mengakui banyak hal membabitkan dirinya kini sedang dipertimbangkan semula.Malah, dia juga sedang mengatur langkah yang lebih baik untuk tahun 2018, sesuai dengan gelaran sebagai isteri yang digalas ketika ini.

Saya sentiasa percaya, rezeki selepas berkahwin itu akan ada.Berkenaan produk Meeracle Gemstone itu, setakat ini kami tidak mempunyai sebarang masalah, malah masih berhubung dengan baik.

Saya tetap menjalankan tugas saya sebagai duta produk itu dengan baik dan sepanjang yang saya tahu ia tidak menjejaskan pun. Hal peribadi saya tidak ada kena mengenal dengan tanggungjawab saya sebagai duta produk tersebut,” katanya.

Ude pandai ‘beli’ jiwa!Jika boleh diterjemahkan, dia memilih lelaki biasa-biasa seperti Ude kerana sifat bapa yang ada dalam diri lelaki yang muda tiga tahun berbanding dirinya itu.

Benda pertama adalah, dia boleh beli jiwa saya dan anak saya.Saya dikenali sebagai artis yang bukan mengejar wang ringgit dan saya tak kisah akan soal itu.Pada saya, harta dan wang ringgit boleh sama-sama mencari, tetapi kasih sayang itu mahal harganya.

Ude mampu membeli jiwa kami sehingga saya terbuka hati untuk kembali ada suami, setelah 3 tahun hidup bersendirian.Walaupun saya reda dengan takdir terpaksa berkongsi hidup dengan wanita lain, saya anggap ini akan pengorbanan untuk mempertahankan cinta kami juga.

“Saya sudah semakin reda dengan perkongsian ini dan walau muda, sifat kebapaan terserlah dalam diri dia.Itu buat kami sayang, suka sangat dengan dia dan setuju untuk berkahwin dengan dia walaupun tahu dia adalah suami orang dan sudah ada dua anak.

Pada saya, ini adalah takdir saya dan kena hadap meskipun orang akan mengata macam-macam.Sampai masa, orang akan senyap dan kita akan teruskan hidup macam biasa sahaja mengikut cara kita,” katanya lagi.

Pilihan Izreen adalah untuk memberi peluang kepada anak tunggalnya, Umar Rayyan, 4 tahun dan anak-anak Ude dengan isteri pertama yang berumur 3 dan 1 tahun untuk saling mengenali.

Anak Ude yang sulung pernah dibawa datang ke rumah saya.Dan apabila tengok mereka bermain bersama dengan Umar Rayyan, kami rasa mereka serasi , macam adik-beradik yang lain.

Tidak ada masalah untuk saya menjaga anak Ude kerana walaupun nampak garang, saya adalah seorang yang cukup suka kepada budak-budak dan manja di rumah.Saya sangat bersikap ibu-ibu, mungkin sebab itu budak-budak cepat suka dan melekat,beritahunya lagi.

Faham akan segala kutukan tidak bertepi buat dirinya pada ketika ini yang pada awalnya merahsiakan pernikahan, Izreen menerimanya dengan cara yang tersendiri.Tidak membalas juga tanpa berbalah, dia memilih hanya mendiamkan diri.

Sedar keputusan berkahwin dengan suami orang bukanlah sesuatu yang dengan mudah untuk diterima masyarakat, pun begitu wanita ini tidak pernah meletakkan ‘cakap-cakap’ orang sebagai racun yang akan memusnahkan kebahagiaan dirinya.

Malah, dia mahu menikmati saat-saat awal kembali bergelar isteri ini dengan hanya hal yang manis-manis sahaja.

Bahagia kita, kita sendiri yang cari dan memilihnya.Saya tidak pernah anggap kata-kata kutukan orang sebagai sesuatu yang besar untuk difikirkan.Selagi ia masih dalam rasa yang waras, saya tak ambil kisah.

Tetapi kalau kutukan dan kejian sudah ke tahap yang keterlaluan, sesiapapun tidak mungkin mampu bersabar lagi dah.Jadi, setakat ini saya masih mampu menangani emosi apabila melihat kata-kata buruk mereka.

Barangkali ada yang tidak faham dan tidak tahu apa yang kami sedang lalui ini,” katanya lagi.Izreen terpaksa menutup ruang komen di laman sosialnya, untuk mengelakkan interaksi dengan ‘pembenci’ dirinya.Bukan tidak mahu bersemuka di ruangan terbuka, Cuma dia sedar apa sekalipun jawapan yang dia berikan, dirinya kekal dianggap sebagai pesalah.

Kongsi sikit, macam mana boleh jumpa Ude?Izreen:Macam mana kami jumpa? Hmmmm, rasanya biarlah ia menjadi rahsia antara kami kedua.Kalau saya cerita lebih, orang akan kata semua nak cakap, lebih baik tak perlu cakaplah. Banyak pihak kami nak kena jaga, nanti jadi fitnah.Biarlah ia jadi rahsia kami berdua sahaja macam mana kami bertemu.Begitulah!

Masing-masing sudah ada anak hasil perkahwinan sebelum ini, Izreen sendiri merancang untuk ada anak lagi?

Izreen: Soal anak, kami berserah pada Allah SWT. Kalau ada, adalah.Saya pun tak pernah rancang hendak berapa orang anak.Tidak juga merancang hendak anak perempuan atau anak lelaki.Kalau ada rezeki tu, cukuplah anak-anak ini boleh senangkan hati kami sebagai ibu bapa.

Membina keluarga baharu, biasanya pasangan suami isteri bincang bab penting macam ini, kenapa kalian sebaliknya?

Izreen:Kalau rancang banyak-banyak tak jadi, kita sendiri yang kecewa.Frust! Buat masa sekarang, kami teruskan hidup macam biasa sahajalah.Hal-hal rezeki tu, ia akan datang kemudian.Kita jaga sahaja apa yang sudah ada ni.

Kasihan juga kepada budak-budak kalau kita asyik bergaduh ke apa.Anak-anak kena ceria dan jangan serabutkan anak-anak dengan masalah ibu bapa.Jenis saya mudah, saya mahu tengok anak-anak kami gembira.Apabila anak-anak bahagia sama macam anak orang lain, kami juga akan bahagia.

Sumber:utusanonline