‘SYURGA’ Hidung Belang di Serbu Imigresen.


BUKIT MERTAJAM , – Berselindung disebalik nama Pusat Urut Tradisional , dua buah premis perniagaan yang menawarkan khidmat urutan tradisional yang sering dikunjungi lelaki hidung belang telah diserbu oleh Bahagian Penguatkuasa Imigresen Pulau Pinang dalam siri Ops Mega 2.0 bagi mengesan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Lebih mengejutkan semasa pusat urutan yang disyaki menggajikan khidmat warga asing itu diserbu didapati pekerja dan pelanggan hanya bertuala.

Serbuan dilokasi pertama telah dijalankan ke atas sebuah pusat urut yang terletak di Pusat Perniagaan Alma , Bukit Mertajam. Seramai 9 orang yang disyaki sebagai pelanggan dan pekerja telah diperiksa dan hasilnya seramai 6 orang PATI telah berjaya ditangkap.

Mereka yang ditangkap pula terdiri daripada 2 orang perempuan warga Thailand , 2 orang Perempuan warga Vietnam , 1 orang Perempuan warga Laos dan 1 orang lelaki warga Nepal kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek. 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 & Peraturan 39(b) Peraturan – Peraturan Imigresen 1963.

Serbuan kedua pula telah dilakukan di sebuah pusat urut tradisional yang terletak di Taman Tampoi Indah Bukit Mertajam. Seramai 8 orang yang disyaki sebagai pelanggan dan pekerja telah diperiksa dan hasilnya seramai 5 orang PATI telah berjaya ditangkap.

Mereka yang ditangkap terdiri daripada 2 orang perempuan warga Thailand , 2 orang perempuan warga Laos dan 1 orang perempuan warga Vietnam kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek. 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 & Peraturan 39(b) Peraturan – Peraturan Imigresen 1963.

Tindakan dibawah Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007 juga akan dilaksanakan sekiranya wujud elemen kesalahan di bawah akta yang berkenaan.

Operasi memburu PATI seterusnya dilakukan di sebuah rumah yang terletak di Jalan Air Terjun George Town. Pemeriksaan telah dilakukan ke atas 3 penghuni rumah dan hasilnya ketiga-tiga mereka telah ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1960 & Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959. Mereka terdiri daripada 1 orang lelaki warga Bangladesh , 1 orang perempuan warga Indonesia dan 1 orang kanak-kanak lelaki warga Bangladesh.

Serbuan terakhir dilakukan di sebuah rumah kongsi di kawasan Tapak Pembinaan yang terletak di Jalan Machang Bubok Bukit Mertajam. Seramai 51 orang warga asing telah diperiksa dan hasilnya seramai 21 orang PATI telah berjaya ditangkap.

Mereka yang ditangkap dilokasi berkenaan terdiri daripada 16 orang lelaki warga Bangladesh , 1 orang lelaki warga Indonesia dan 4 orang lelaki warga Myanmar kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 & Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959.

Jumlah keseluruhan warga asing yang diperiksa dalam semua serbuan adalah seramai 71 orang dan tangkapan yang berjaya dibuat adalah seramai 35 orang PATI.

Tugas bagi membendung masalah PATI tidak hanaya terletak di bahu Jabatan Imigresen Malaysia semata-mata. Pihak Berkuasa Tempatan dan masyarakat juga misalnya berperanan dalam membantu membanteras masalah berkaitan PATI.

Sumber:

Kementerian Dalam Negeri (KDN)

Jabatan Imigresen Malaysia