Teka-Teki Hilang Akhirnya Terjawab

 

 

Teka-Teki Hilang Akhirnya Terjawab|POLIS mengesahkan penemuan mayat lelaki di dalam longkang di Kilometer 19 Lebuhraya Pasir Gudang-Skudai menghala Pasir Gudang, pagi semalam, akibat terbabas sendiri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Rupeah Abdul Wahid berkata, mangsa Mohammad Fakruddin Mohd A’asari, 28, ditemui di lokasi pada 10.14 pagi berdekatan motosikalnya.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 17 Mac lalu dan motosikal ditunggang mangsa dari arah Taman Perling ke Taman Johor Jaya.

“Setibanya di susur menghala Taman Johor Jaya dan di persimpangan susur naik ke Taman Daya, mangsa terbabas dan terjatuh ke dalam longkang di sebelah kanan jalan.

“Mangsa yang bekerja dengan syarikat swasta di Singapura disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi bagi mengesahkan kemalangan itu.

Katanya, orang ramai yang menemui mangsa menghubungi Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah JBS untuk menjalankan siasatan.

Beliau berkata, berikutan kejadian itu waris mangsa membuat pengecaman identiti mangsa yang dibedah siasat di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Berikutan itu katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM5,000 dan RM20,000.

Semalam, tular di Facebook (FB) mengenai penemuan mayat lelaki di dalam longkang bersama motosikalnya di Taman Daya berdekatan Lebuhraya Pasir Gudang.

Sepasukan lima anggota bomba bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau membantu polis mengangkat mayat sejurus menerima maklumat pada 10.56 pagi semalam.

Difahamkan, satu laporan polis berhubung kehilangan mangsa dibuat rakannya di Balai Polis Tampoi pada 10.48 malam, 18 Mac lalu selepas dia dikatakan tidak pulang ke rumah sehari sebelum itu.

Malah pencarian juga dilakukan rakan-rakan mangsa menerusi FB bagi menjejakinya yang sudah beberapa hari tidak pulang ke rumah bersama motosikalnya.

Bagaimanapun, teka teki kehilangannya terjawab berikutan penemuan mayat dan motosikal mangsa di dalam longkang yang ditularkan semalam.