Rendang Ayam: “John, Anda Akan Lebih Popular Di Asia Tenggara Kalau…” – Chef Malaysia Di UK

Chef Norman Musa. (Gambar kecil) John Torode.

PETALING JAYA: Chef kelahiran Malaysia yang menempa nama di United Kingdom (UK) turut bersuara mengenai kontroversi kritikan juri program realiti televisyen MasterChef UK mengenai rendang ayam.

Bagaimanapun anak kelahiran Butterworth, Pulau Pinang itu tidak mempertikaikan mengenai kritikan terhadap rendang ayam yang kurang rangup, sebaliknya menyentuh sikap juri berkenaan.

Chef Norman Musa yang memartabatkan masakan Malaysia di UK termasuk Eropah sejak 2006 berpendapat bahawa permohonan maaf daripada salah seorang juri program itu, Chef John Torode adalah apa yang dinantikan semua orang, bukannya menunjukkan sikap angkuh.

“Anda akan menjadi lebih popular di Asia Tenggara kerana merendah diri mengenai perkara ini, dengan hanya meminta maaf dan bukannya berkata ‘Namaste’.

“Saya berpihak kepada mereka di negara kelahiran saya dan bagusnya melihat ramai yang cuba untuk memperbetulkan keadaan,” katanya menerusi posting di laman Facebooknya pada Selasa.

Chef Norman yang pernah dilantik sebagai Duta Makanan Kuala Lumpur pada 2015 dan berpangkalan di Manchester bagaimanapun mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak ‘menyumpah’ Torode dengan melepaskan kemarahan kepada juri berkenaan.

“Merendah diri dan bersopanlah dalam menegur kesilapan yang dilakukannya dan Greg, kerana cara itulah identiti kita,” katanya yang turut ditemuramah dengan stesen radio BBC Radio 5berhubung kontroversi kritikan rendang ayam itu.

Isu peserta Malaysia, Zaleha Kadir Olpin, yang tersingkir pada pusingan kalah mati peringkat suku akhir pertandingan program MasterChef UK baru-baru ini, meraih perhatian banyak pihak terutama rakyat Malaysia.

Menerusi episod yang mencabar peserta untuk memasak hidangan yang penting kepada diri mereka, Zaleha, 48, yang kini menetap di Bristol, UK memilih juadah nasi lemak bersama rendang ayam untuk dimasak.

Zaleha dalam program MasterChef UK.

Ia kemudian mendapat kritikan kedua-dua juri, Chef John Torode dan Gregg Wallace yang mengatakan rendang ayam Zaleha tidak cukup rangup.

Torode kemudian membalas membalas tweet netizen yang mempertikaikan bagaimana masakan rendang ayam boleh menjadi hidangan rangup: “Mungkin rendang adalah dari Indonesia! Suka ini! Bernas, anda semua begitu teruja mengenainya. Namaste.”

Selain netizen, chef selebriti terkenal, Datuk Redzuwan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan dan Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia, Vicki Treadell turut mempertahankan Zaleha dengan membidas kritikan juri.

Malahan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara sinis menerusi akaun Twitternya pada Selasa  berkata: “Mana ada orang makan rendang ayam ‘crispy’ (rangup)?.”

 

Sumber: Mstar